Thursday, 26 April 2012


KEBAIKAN DAN KEBURUKAN KAD KREDIT



“Adakah perlu saya mempunyai kad kredit dan membayar RM50 cukai perkhidmatan atau patutkah saya batalkan sahaja kad kredit tersebut?”. Jom kita analisa satu per satu kebaikan dan keburukan kad kredit bagi menjawab kemusykilan yang asyik bermain difikiran kita ini.
KEBAIKAN KAD KREDIT
•  Kad kredit boleh digunakan pada waktu kecemasan. Contohnya, anda atau ahli keluarga sakit tenat pada waktu tengah malam, dan perlu dimasukkan ke hospital. Pada saat itu juga, anda tidak menyimpan wang dengan jumlah yang banyak di rumah. Tetapi apabila anda mempunyai kad kredit, masalah kemasukan ke wad dapat diselesaikan dengan sempurna.
• Kad kredit lebih mudah dan praktikal untuk dibawa berbanding dengan wang tunai.
• Membawa kad kredit akan dapat mengelakkan daripada berlakunya risiko kecurian. Jika anda membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak, anda munkin berasa tidak selamat atau mungkin akan dapat dirompak atau risiko untuk berlaku kehilangan ke atas wang tunai yang anda bawa. Jika anda menggunakan kad kredit, risiko untuk berlaku kecurian atau kehilangan seperti ini dapat dielakkan. Jika kad kredit anda dicuri atau hilang, dengan mudah sahaja anda dapat menyelesaikan masalah ini iaitu dengan menefon kepada pihak bank untuk membuat laporan tentang kecurian atau kehilangan. Pihak bank seterusnya akan terus membuat pembatalan ke atas semua urusniaga yang berkaitan dengan kad yang hilang tersebut.
• Sekiranya pengguna sering travel ke luar negara, pertukaran mata wang tidak diperlukan lagi dan memudahkan urusan jual beli.
• Rebate Petrol – Banyak kad kredit menyediakan rebate petrol. Misalnya CIMB Petronas bagi 2% rebet. Jika anda spend RM 200 untuk minyak sebulan, anda boleh dapat rebate RM 4.
•  Syarikat-syarikat kad kredit sudah tentu akan cuba sedaya upaya mereka untuk mengekalkan anda sebagai pelanggan.  Mereka mungkin akan menawarkan pelbagai bonus baru, ganjaran serta insentif supaya anda terus  menggunakan kad kredit mereka. Lebih menarik lagi, ada juga bank yang membenarkan pelangannya menggunakan mata ganjaran yang dikumpul untuk melangsaikan cukai perkhidmatan kad kredit itu.
• Kad kredit membolehkan anda membuat pembelian melalui Internet. Jika anda kerap membeli-belah secara dalam talian (online), anda pasti tahu bahawa salah satu cara pembayaran yang sering diterima ialah penggunaan kad kredit.
• Fungsi auto-debit melalui kad kredit memudahkan anda untuk membayar bil dari rumah. Ini kerana bukan semua orang mempunyai masa untuk pergi ke bank/pejabat pos/pusat pembayaran bagi membuat pembayaran.
KEBURUKAN KAD KREDIT
• Kegagalan menguruskan hutang kad kredit dengan baik boleh mengundang pelbagai masalah, termasuklah kebankrapan. Sebuah bank terkemuka telah menjalankan kaji selidik tentang tabiat perbelanjaan rakyat Malaysia dan mendapati hanya 28% rakyat mematuhi bajet yang dibuat. Sementara itu,  Jabatan Perangkaan Malaysia pula mendedahkan  bahawa 50% rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap terdiri daripada mereka di bawah umur 30 tahun.
• Jika kad kredit dicuri atau nombor PIN jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya, anda mungkin terpaksa menanggung hutang kad kredit yang banyak.
• Kad kredit biasanya memberikan anda mata ganjaran yang kemudiannya boleh digunakan untuk menebus pelbagai hadiah menarik. Namun, jangan lupa bahawa anda perlu banyak berbelanja untuk mengumpul mata ganjaran tersebut. Situasi sebegini boleh mendorong anda berbelanja melebihi kemampuan, semata-mata kerana ingin mengumpul mata ganjaran dan memperoleh hadiah yang diidamkan.
• Oleh kerana anda tidak perlu menggunakan wang tunai sendiri tetapi sekadar sekeping kad untuk membeli barang, ramai yang cenderung membeli barang yang tidak perlu. Lebih teruk lagi, mereka beranggapan bahawa mereka “mampu” untuk membeli barangan yang mahal, sedangkan situasi kewangan mereka adalah sebaliknya.
• Biarpun jarang menggunakan kad kredit, anda masih perlu membayar cukai perkhidmatan sebanyak RM50 untuk setiap kad setahun dan ini sudah pastinya merugikan. Selain itu, syarikat kad kredit akan mengenakan pelbagai jenis caj bagi perkhidmatan yang ditawarkan. Walaupun ada syarikat yang menawarkan yuran tahunan percuma sepanjang hayat, ia biasanya tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Jika anda hanya menggunakan kad kredit setahun sekali, lebih baik batalkannya sahaja.
• Purata kadar faedah yang dikenakan oleh bank untuk penggunaan kad kredit ialah 18% setahun. Hakikatnya, lebih lama masa yang diambil untuk membayar hutang kad kredit, lebih banyaklah wang yang perlu dibayar kepada pihak bank!
• Yuran dan caj yang bakal dikenakan – Ingatlah bahawa bank atau syarikat kad kredit juga akan mengenakan yuran pembayaran lewat (serta yuran-yuran lain) sekiranya anda gagal menjelaskan hutang kad kredit dalam tempoh masa yang ditetapkan. Bayaran-bayaran sebegini pastinya membebankan anda dalam jangka masa panjang.


Inspirasi ‘Billy The Plastic Beg’

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

2010/07/27

Dua remaja luah kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar menerusi buku cerita

AMALAN memulihara alam sekitar perlu bermula daripada kecil. Antara boleh dilakukan termasuk mendidik anak supaya tidak membuang bungkusan makanan di merata tempat dan guna beg kitar semula bagi menggantikan beg plastik. 

Menyedari hakikat betapa pentingnya penjagaan alam sekitar, Gabreil Tseng, 14 bersama adiknya, Raphaelle Tseng, 11, menerbitkan buku mengisahkan kitaran hidup beg plastik berjudul ‘Billy The Plastic Beg’. Buku istimewa itu menceritakan kesan penggunaan beg plastik tanpa pengawalan terhadap bumi, tetapi dibuat dalam bentuk naratif yang menyeronokkan untuk kanak-kanak kecil.
Siapa sangka, ketika kanak-kanak lain sebaya mereka asyik dengan dunia mereka, dua remaja berdarah kacukan Perancis dan Taiwan itu pula mengambil inisiatif melakar kertas kerja bagi memberikan kesedaran kepada umum mengenai kepentingan menjaga keindahan alam.
Daripada pandangan kasar, mungkin kedua-duanya tampak masih mentah, namun semangat yang dibuktikan patut dijadikan contoh. 

Gabreil yang juga pengasas kepada Kids For Earth (KFE) berpendapat alam sekitar sewajarnya dijaga semua lapisan komuniti yang berpijak tegar di bumi ini selain perlu memberikan reaksi positif dalam mengekalkan kehijauan flora dan fauna sebagai khazanah alam untuk dinikmati generasi akan datang. 

Katanya, beg plastik mengambil masa kira-kira 300 tahun untuk mengurai dan ia berpecah menjadi partikel toksik kecil yang mencemarkan tanah serta saliran air, manakala haiwan dan hidupan laut turut terbunuh setiap hari gara-gara beg plastik tersumbat dalam saluran usus mereka. 

“Kempen berkaitan pengurangan penggunaan beg plastik sememangnya wajar diterapkan di kalangan masyarakat dan dunia ini. Setiap tahun, kira-kira 500 billion beg plastik digunakan di seluruh dunia dan jumlah itu sangat membimbangkan berikutan pembuangan yang tidak terkawal mendatangkan kesan buruk terhadap pelbagai hidupan. 
“Dalam pada itu, pelbagai cara boleh dilakukan untuk menjaga dan menghayati alam sekitar. Cara paling berkesan adalah dengan menanam sifat menyayangi hutan dan membabitkan diri dalam kempen alam sekitar di peringkat tempatan dan kebangsaan,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka, baru-baru ini. 

Remaja itu berkata, keinginan untuk memulakan penulisan ‘Billy The Plastic Beg’ bermula apabila menonton cerita pendek di laman web mengisahkan keadaan kehidupan laut semakin terancam akibat pembuangan beg plastik secara berleluasa. 

Katanya, rentetan sikap sambil lewa manusia, kini kebanyakan kehidupan laut tidak dapat meneruskan kitaran hidup secara normal kerana terperangkap dalam hasil pembuangan manusia sekali gus menyebabkan mereka kerap tertelan beg plastik sampah yang disangkakan makanan buat mereka. 

“Rumusan cerita pendek itu cukup membuatkan saya sedih melihat keadaan kitaran hidupan laut terancam dek tingkah laku manusia sering mengambil mudah terhadap keegoan mereka. Sejurus itu, terus terdetik di hati untuk tampil melakukan sesuatu bagi memberikan kesedaran buat semua mengenai kepentingan menjaga alam semesta. 

“Sebagai langkah permulaan, saya mengambil keputusan mengadakan kempen kesedaran menerusi projek ringkas. Tumpuan penyampaian difokuskan kepada kanak-kanak dan remaja berikutan yakin mereka adalah golongan permulaan yang paling tepat untuk memberikan rangsangan terhadap nilai murni yang perlu diterapkan termasuk pengetahuan moral,” katanya. 

Bagi memastikan karya ‘Billy The Plastic Beg’ itu sampai ke sasaran, Gabreil melakukan pelbagai kempen bergerak dari satu sekolah ke sekolah di seluruh negara selain mengadakan perbincangan ringkas mengenai kepentingan dan tanggungjawab setiap masyarakat. 

Katanya, selain mengedarkan buku yang dikarangnya, beg kitar semula untuk menggantikan beg plastik juga diedarkan sepanjang program dijalankan bertujuan untuk menggantikan penggunaan beg plastik sewaktu aktiviti membeli belah dilakukan umum. 

“Masyarakat sepatutnya sedar keburukan penggunaan beg plastik. Ia bukan saja mengambil masa yang lama untuk luput, malah mengandungi bahan kimia yang merbahaya. Penggunaan beg litar semula sewaktu aktiviti membeli-belah dijalankan boleh membantu dalam usaha mengurangkan kadar pembuangannya. 

“Malah jika dikaji semula, kebanyakan pasar raya turut menyahut baik kempen hari tanpa beg plastik dan ada sesetengah pihak mengenakan bayaran tambahan untuk mendapatkan beg plastik berbanding sebelum ini,” katanya sambil menunjukkan beg kitar yang direkanya. 

Sementara itu, teman seperjuangan yang juga adik perempuannya, Raphaelle memberitahu keinginannya untuk bergiat lebih aktif dalam menyampaikan mesej bermakna itu bertambah kukuh selepas melihat semangat abangnya yang berkobar untuk membentuk jati diri di kalangan rakan-rakan sebaya. 

“Ramai remaja mungkin memandang cetek terhadap keupayaan dan usaha yang sedang dilakukan Gabreil bersama KFE. Namun, selepas beberapa tahun bergiat aktif kini semakin banyak syarikat terkemuka tampil untuk memberi sokongan buat program termasuk kempen yang dijalankan oleh kami. 

“Semangat abang yang tidak pernah luntur untuk meneruskan perjuangannya membuatkan saya kagum, sekali gus terpanggil untuk turut sama turun padang. Memang pada mulanya, agak sukar untuk berkomunikasi dengan umum, bagaimanapun perasaan kian terhakis malah kini saya semakin berkeyakinan jika diajukan soalan berkaitan kempen ini,” katanya sambil tersenyum manis. 

Jelasnya lagi, selain membantu Gabreil dalam pengurusan projek dan bengkel, gadis cilik itu turut membantu abangnya untuk bertemu dengan organisasi, lembaga korporat dan sekolah bagi melangsungkan pertandingan serta bengkel berkaitan. 

Raphaelle juga berterima kasih kepada YTL Corporation Berhad yang juga syarikat pertama untuk menerima pembentangan kertas kerja dua remaja itu, selain memberikan sokongan mantap dalam meneruskan kempen yang dirancang. 

“Sebelum kami berjaya mendapat perhatian umum, pelbagai cara dan kaedah dilakukan agar kertas kerja ini diterima. Mungkin kerana kami ini kanak-kanak dan dianggap tidak berpengalaman. Namun, hakikatnya kami juga mempunyai pendirian dan keazaman yang tegar dalam membentuk persekitaran yang selamat buat semua benda hidup di bumi ini. 

“Selepas beberapa kali ditolak dan dipandang leceh, akhirnya kami berjaya menarik perhatian YTL Corperation Berhad sekali gus Philip Wong of ArtSeni Gallery. Pelbagai rekaan Eco Sculptures dihasilkan daripada bahan-bahan terbuang termasuk botol, surat khabar dan beg plastik dijadikan sebagai pameran selain diletakkan di sekitar kawasan Lot 10 untuk memberikan kesedaran kepada tatapan umum,” katanya. 

Sebelum menamatkan perbualan rancak pada petang itu, kedua-kedua remaja itu sempat menyatakan mereka selesa dengan apa yang dilakukan. Bagi mereka, walaupun masih setahun jagung mereka dapat membahagikan jadual harian dengan baik. 

“Kami berdua tidak lari daripada kehidupan seperti kanak-kanak biasa. Setiap pembelajaran diteruskan, aktiviti yang disertai juga dilakukan tanpa sebarang sekatan. Apa yang penting adalah pembahagian masa dan kami sememangnya seronok dengan apa yang dilakukan, asalkan orang ramai terutama golongan muda tahuakan tentang tanggungjawab mereka dalam mengekalkan keindahan alam yang tiada berganti nilainya,” kata mereka.



~~~BERITA HARIAN ONLINE ~~~
Di Pulau Pinang orang ramai tidak digalakkan menggunakan plastik ketika beli-belah dan pembungkus makanan polisterin. Mengapa?



JANGAN terkejut jika anda diminta membayar RM0.20 sen semasa membeli-belah di mana-mana pasar raya di Pulau Pinang. Ia bukanlah harga untuk beg plastik tetapi itulah nilai yang terpaksa anda bayar kerana menggunakan bahan yang tidak boleh dikitar semula itu.
Sejak 1 Julai lalu kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan hari Isnin pertama setiap bulan sebagai hari tanpa plastik. Sebagai ganti, orang ramai digalakkan membawa beg sendiri semasa membeli-belah atau menggunakan beg mesra alam.
Sokongan
Mulanya, tindakan yang diperkenalkan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia itu dilihat janggal kerana menyusahkan pelanggan yang rata-ratanya terbiasa dengan budaya beg plastik ketika membeli- belah.
“Mengapa perlu bayar 20 sen sedangkan saya membeli-belah r
atusan ringgit setiap minggu di sini,” soal suri rumah, Nor Rehan Abd. Razak.
Bagaimanapun setelah dijelaskan oleh juruwang di kaunter, beliau menyambut baik usaha itu dan menolak beg plastik sebaliknya meminta digantikan dengan kotak kosong yang disediakan pasar raya itu.
Selepas sebulan diperkenalkan ia mendapat maklum balas positif daripada orang ramai terutama generasi muda termasuk beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
“Program ini memang cool saya sokong sepenuhnya walaupun ramai yang merungut tetapi inilah tindakan sebenar untuk selamatkan bumi kita,” ujar pelajar sekolah, Raymond Tan, 17.
Polisterin
Bagi Siti Yusliza Zainal, 21 pula, terlalu banyak berkempen tanpa tindakan juga tidak ada gunanya. Bagi Siti Yusliza, usaha ini wajar dicontohi.
Kesungguhan kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Pinang ‘negeri hijau’ bukan omong kosong apabila pada bulan yang sama ia memutuskan larangan menggunakan pembungkus makanan polisterin pada semua program rasminya.
“Penggunaan bekas pembungkus makanan tersebut secara tidak terkawal menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes dan larangan ini sebagai langkah memerangi demam denggi,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Phee Boon Poh.
Beliau berkata, penggunaan pembungkus polisterin bukan sahaja memudaratkan kesihatan pengguna, tetapi juga mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar.
“Tiada lagi penggunaan polisterin selepas ini dan diharap tindakan sama dilakukan oleh pihak swasta dan orang ramai, sebaliknya kita galakkan penggunaan bahan lain misalnya piring kertas.
“Ia mudah dibawa tetapi sikap pengguna yang gemar membuang bekas makanan ini merata-rata, bila hujan ia menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.
Beg kitar semula
Menurut Boon Poh, dua pendekatan yang diperkenalkan kerajaan negeri itu semakin diterima apabila beberapa penganjuran tidak lagi menggunakan bekas polisterin, manakala orang ramai mesra dengan budaya membawa beg kitar semula ketika membeli-belah.
Katanya, bayaran 20 sen yang dikenakan kepada pelanggan yang terlupa menyediakan beg sendiri dan memerlukan beg plastik sebenarnya akan disumbang kepada Program Antimiskin Tegar.
“Duit itu bukan masuk kocek kerajaan, kutipan diambil oleh pasar raya yang terlibat untuk didermakan kepada rumah-rumah kebajikan di negeri ini.
“Pada dasarnya, ada beberapa pengusaha pasar raya besar turut memberi reaksi positif dan berminat untuk turut serta dan kami sedang memperincikan perkara ini,” ujarnya.
Jelas Boon Poh, program itu bukan bermakna kerajaan negeri mengharamkan terus beg plastik sebaliknya mengurangkan jumlah penggunaanya sahaja, malah menggalakkan sekiranya beg plastik sama diguna oleh orang ramai semasa membeli-belah berulang-ulang.
“Hasrat kita seterusnya ialah memanjangkan lagi program ini mungkin kepada dua hari tanpa plastik atau minggu tanpa plastik.
“Jika ia tidak dimulakan sekarang, bila lagi. Walaupun tiada paksaan, tetapi kerajaan negeri berharap penduduk negeri ini dapat memainkan peranan masing-masing agar alam sekitar yang ada boleh diwarisi dengan selamat kepada generasi seterusnya,” ujar beliau.


~~~ BHO blog ~~~

Tuesday, 24 April 2012


'Ya, saya boros'

Hentikan penafian dan buatlah pengakuan dengan ikhlas dan jujur. Hanya selepas itu, anda boleh menghentikan tabiat boros anda.


APABILA kita membeli mengikut emosi dan tidak mengambil berat mengenai wang yang dibazirkan itu, kita akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar. - Gambar hiasan




APABILA seorang bayi dilahirkan, sebagai seorang ibu atau ayah, kitalah insan yang paling penting dalam hidup mereka. Lantas, kitalah juga yang akan melentur hidupnya ke arah kebaikan.
Tiada seorang ibu atau ayah yang inginkan keburukan, kemiskinan dan perkara negatif berlaku dalam hidup anak mereka. Namun, tanpa kita sedari, perbuatan seharian atau amalan yang kita lakukan itu menjadi tingkah laku yang akan mencorakkan atau memusnahkan kehidupan anak-anak. Tingkah laku inilah juga yang akan membawa kepada keburukan kepada mereka.
* Menghadapi kebenaran
Bagaimana mengenali masalah seseorang yang boros? Di sini, saya sendiri melakukan proses tersebut bersama ahli keluarga dan kami perhatikan di antara satu sama lain sekiranya merasakan masalah ini akan berulang kembali. Baiklah, apa kata pada hujung minggu ini, anda sediakan tiga kotak besar dan tandakan:
1. Simpan
2. Pemberian
3. Buang sama sekali
Apabila kita perhatikan barang-barang yang dikumpul, tidak kiralah sama ada pakaian, kasut, tas tangan, buku-buku, majalah, barangan dapur seperti periuk dan lain-lain lagi, sekiranya ia memenuhi kotak-kotak tersebut, maka sedarlah bahawa hakikatnya, kita mempunyai masalah berbelanja. Hal tersebut juga boleh dikategorikan sebagai masalah boros.
Kebenaran yang kita hadapi ini mungkin pedih sama sekali, tetapi ia boleh diselesaikan. Perkara yang paling penting ialah kita sedar yang kita mempunyai masalah membeli-belah atau boros berbelanja. Oleh itu, kita seharusnya mengetahui cara-cara untuk mengatasi masalah tersebut.
* Kenapa boros berbelanja?
"Tidak, ini bukan masalah utama saya! Saya hanya gemar membeli-belah, apa salahnya membeli-belah? Saya hanya membeli-belah semasa jualan mega dan bukannya setiap hari."
Dialog di atas menceritakan mengenai situasi seseorang yang gemar membeli-belah walaupun pada hari-hari tertentu. Sikapnya itu dikatakan boros disebabkan setiap kali tibanya musim jualan mega, dia akan membeli apa yang dia inginkan, tanpa mengambil tahu hal melibatkan pengurusan kewangan.
Apabila kita mula menjadikan beli-belah sebagai satu perkara yang menenangkan fikiran, maka ia adalah petanda sikap boros anda. Setelah kita membeli apa yang diinginkan, kita akan menyorok daripada pengetahuan isteri, suami atau anak-anak. Perbuatan ini belum menjadi masalah besar. Namun begitu, apabila kita membeli mengikut emosi dan tidak mengambil berat mengenai wang yang dibazirkan itu, kita mungkin akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar.
Sekiranya kita tidak mengatasi masalah besar ini, ia akan membawa kemudaratan dalam rumah tangga. Contohnya, hutang kad kredit yang semakin meningkat, masalah penceraian kerana suami atau isteri mula mengalami keperitan membayar hutang. Oleh itu, sekiranya membeli-belah dan boros ini adalah masalah utama anda, cuba atasinya mengikut empat langkah yang dinyatakan di bawah:
1) Mengaku ia satu masalah.
Apa yang perlu kita lakukan adalah duduk bersama orang yang kita sayangi iaitu suami atau isteri dan jika perlu anak-anak, adik beradik dan mengaku kepada mereka bahawa anda mempunyai masalah besar. Anda perlukan bantuan mereka untuk mengatasinya. Jika kad kredit menjadi punca, maka serahkan kepada mereka yang kita percayai atau potong sahaja sehingga semua hutang telah diselesaikan. Jika wang tunai, serahkan buku bank dan kad bank kepada insan yang boleh dipercayai. Benarkan mereka memberi kepada kita wang yang mustahak sahaja seperti makan, minum, petrol, bayaran bil-bil telefon dan keperluan bulanan.
2) Apakah masalah sebenarnya?
Tidak dinafikan, kadangkala kita harus berhadapan dengan masalah peribadi yang tidak ingin dikongsi dengan sesiapa. Apabila emosi dan masalah ini digandingkan, kita mencari jalan keluar yang paling pantas. Sekiranya anda berhadapan dengan masalah kewangan, rumahtangga, kerjaya atau masalah berat badan, membeli-belah dengan boros bukan jawapannya. Dapatkan bantuan daripada suami atau isteri atau sesiapa saja yang memahami diri anda.
3) Nilai sendiri masalah boros
Setiap orang mempunyai perbezaan sewaktu membeli-belah. Ada yang membeli-belah kerana kawan-kawan dan ada pula yang gemar membeli-belah setiap kali tibanya jualan mega. Malah, ada pula yang membeli-belah kerana ingin menjadi seseorang yang paling trendy seperti memakai kasut atau tas tangan yang paling terkini.
4) Ambil masa 15 minit sebelum membeli sesuatu yang tidak penting.
Inilah masa terbaik yang harus anda lakukan sebelum membazir. Dengan hanya 15 minit, pelbagai perkara boleh dilakukan selain membeli-belah. Contohnya, duduk sambil membaca buku atau majalah, sekiranya berada di pusat-pusat membeli-belah.

Monday, 23 April 2012

BERBELANJA SECARA BERHEMAH 

Sebagai pengguna yang bijak , kita boleh berbelanja secara berhemah melalui beberapa cara . Antaranya ialah :

  1. menetapkan perbelajaan bulanan dengan nisbah 3:1 untuk keperluan dan kemahuan 
  2. menyenaraikan barangan yang hendak dibeli sahaja
  3. berusaha sebaik mungkin untuk membeli secara berseorangan 
  4. berfikir sama ada barang tersebut itu merupakan keperluan dan kemahuan 
Pengguna juga haruslah perbanyakan kreativiti dan inovasi dalam kehidupan . Antaranya seperti berikut :

  1. bercucuk tanam seperti menanam sayur - sayuran , buah - buahan dan lain - lain .
  2. kitar semula bahan terbuang seperti surat khabar , kayu , plastik , tin minuman dan lain - lain .


KUALA LUMPUR: Penjualan produk Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) di Pekan Siswa , Universiti Malaya (UM) berjaya membantu pelajar mengurangkan perbelanjaan harian terutama keperluan makanan dengan harga berpatutan . Selain itu , penjualan produk pertama beroperasi di institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan dapat membantu pelajar merancang perbelanjaan secara bijak memandangkan kos sara diri meningkat di bandar raya . 


Pelajar Fakulti Seni Persembahan , Ashari Sapar Mursalin , 24 , berharap produk KR1M diperluaskan ke beberapa lokasi seperti di kolej kediaman penuntut memandangkan lokasi sekarang terletak jauh dari penempatan mereka . 
“ Saya mencadangkan KR1M ini turut ditempatkan di kolej kediaman pelajar kerana kami menetap di Kolej Tun Syed Zahiruddin (KK9) yang terletak di luar kampus induk.

“ Jika kami ingin membeli produk ini , kami terpaksa menaiki motosikal atau menaiki bas . Secara tidak langsung, kami juga perlu mengeluarkan duit untuk kos pengangkutan ,” katanya yang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana.

Rakannya , Muhammad Gadaffie Sharani , 23 , pula berkata , penjualan produk itu sememangnya membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah berjimat . “ Bagi pelajar yang mengambil pinjaman PTPTN , perkhidmatan ini mampu mengurangkan perbelanjaan dan penjimatan ini dapat disalurkan ke perbelanjaan lain ,” katanya .

Bagi pelajar Indonesia , Rachmawati Muhammad Husni , 20 , ini adalah salah satu usaha yang sangat memberangsangkan daripada kerajaan berbanding negaranya yang tidak menawarkan perkhidmatan sebegitu .

“ Sebagai seorang perantauan , usaha ini sangat membantu saya untuk berbelanja secara berhemah kerana kos pengajian luar negara sememangnya memerlukan perbelanjaan yang tinggi .

“ Menarik mengenai penjualan produk in i, dengan hanya RM10 , saya mampu membeli lima barangan yang berbeza . Ini sangat menjimatkan dan saya sangat menyokong KR1M ini ,” katanya yang sudah menetap selama dua tahun di Malaysia .
 

Saturday, 21 April 2012

        ′ Berhenti Membeli Belah , Mulakan Kehidupan ' bermaksud mengurangkan  aktiviti membeli belah yang melampau dan perbanyakkan kreativiti dan inovasi diri dalam kehidupan . 


        Masyarakat pada masa ini lebih gemar menghabiskan masa dengan perkara - perkara yang tidak membawa kebaikan seperti melepak di pusat - pusat hiburan ( shopping mall ) . Kebanyakan masyarakat gemar berbelanja dengan boros dengan membeli barangan yang tidak mendatangkan faedah . Hal ini menyebabkan wang yang digunakan oleh masyarakat di negara Malaysia tidak bertepatan dengan ekonomi mercapada ini .
Ekonomi negara makin merosot oleh kerana wang untuk membayar gaji pekerja berkurang . Hal ini berpunca oleh sikap segaelintir masyarakat yang terlalu banyak membazirkan masa dengan membeli - belah melebihi keperluan . Mereka ini berbelanja mengikut hawa nafsu sehinggakan sanggup berjumpa dengan ALONG semata - mata untuk meminjamkan wang . Akibatnya bebanan hutang semakin bertambah jiika tidak melunaskan pinjaman yang dipinjam dalam masa yang ditetapkan . Hal ini mengakibatkan kejadian mencuri , merompak , membunuh , menculik kanak - kanak kerana kekurangan wang untuk melunaskan hutang - hutang disekeliling pinggang . Tidak hairanlah jika segelintir daripada masyarakat mengambil jalan yang mudah dengan cara membunuh diri dan melibatkan diri dalam dadah . 


Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan aktiviti belah . Antaranya ialah :

     1 - Menghadkan perbelanjaan bulanan dengan nisbah 3:1 untuk keperluan dan kemahuan 
     2 - Menyenaraikan barang keperluan sahaja ketika membeli belah 
     3 - Berfikir dua kali sama ada barang yang hendak dibeli merupakan keperluan harian ataupun kemahuan             
          sendiri .
  
 Malah terdapat juga cara untuk perbanyakkan kreativiti dan inovasi diri dalam kehidupan harian . Antaranya ialah :


     1 - Bercucuk tanam
     2 - Mengitar semulakan bahan terbuang
     3 - menggantikan penggunaan barang yang mahal dengan menggunakan barang yang lebih murah dan selamat