Thursday, 26 April 2012


KEBAIKAN DAN KEBURUKAN KAD KREDIT



“Adakah perlu saya mempunyai kad kredit dan membayar RM50 cukai perkhidmatan atau patutkah saya batalkan sahaja kad kredit tersebut?”. Jom kita analisa satu per satu kebaikan dan keburukan kad kredit bagi menjawab kemusykilan yang asyik bermain difikiran kita ini.
KEBAIKAN KAD KREDIT
•  Kad kredit boleh digunakan pada waktu kecemasan. Contohnya, anda atau ahli keluarga sakit tenat pada waktu tengah malam, dan perlu dimasukkan ke hospital. Pada saat itu juga, anda tidak menyimpan wang dengan jumlah yang banyak di rumah. Tetapi apabila anda mempunyai kad kredit, masalah kemasukan ke wad dapat diselesaikan dengan sempurna.
• Kad kredit lebih mudah dan praktikal untuk dibawa berbanding dengan wang tunai.
• Membawa kad kredit akan dapat mengelakkan daripada berlakunya risiko kecurian. Jika anda membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak, anda munkin berasa tidak selamat atau mungkin akan dapat dirompak atau risiko untuk berlaku kehilangan ke atas wang tunai yang anda bawa. Jika anda menggunakan kad kredit, risiko untuk berlaku kecurian atau kehilangan seperti ini dapat dielakkan. Jika kad kredit anda dicuri atau hilang, dengan mudah sahaja anda dapat menyelesaikan masalah ini iaitu dengan menefon kepada pihak bank untuk membuat laporan tentang kecurian atau kehilangan. Pihak bank seterusnya akan terus membuat pembatalan ke atas semua urusniaga yang berkaitan dengan kad yang hilang tersebut.
• Sekiranya pengguna sering travel ke luar negara, pertukaran mata wang tidak diperlukan lagi dan memudahkan urusan jual beli.
• Rebate Petrol – Banyak kad kredit menyediakan rebate petrol. Misalnya CIMB Petronas bagi 2% rebet. Jika anda spend RM 200 untuk minyak sebulan, anda boleh dapat rebate RM 4.
•  Syarikat-syarikat kad kredit sudah tentu akan cuba sedaya upaya mereka untuk mengekalkan anda sebagai pelanggan.  Mereka mungkin akan menawarkan pelbagai bonus baru, ganjaran serta insentif supaya anda terus  menggunakan kad kredit mereka. Lebih menarik lagi, ada juga bank yang membenarkan pelangannya menggunakan mata ganjaran yang dikumpul untuk melangsaikan cukai perkhidmatan kad kredit itu.
• Kad kredit membolehkan anda membuat pembelian melalui Internet. Jika anda kerap membeli-belah secara dalam talian (online), anda pasti tahu bahawa salah satu cara pembayaran yang sering diterima ialah penggunaan kad kredit.
• Fungsi auto-debit melalui kad kredit memudahkan anda untuk membayar bil dari rumah. Ini kerana bukan semua orang mempunyai masa untuk pergi ke bank/pejabat pos/pusat pembayaran bagi membuat pembayaran.
KEBURUKAN KAD KREDIT
• Kegagalan menguruskan hutang kad kredit dengan baik boleh mengundang pelbagai masalah, termasuklah kebankrapan. Sebuah bank terkemuka telah menjalankan kaji selidik tentang tabiat perbelanjaan rakyat Malaysia dan mendapati hanya 28% rakyat mematuhi bajet yang dibuat. Sementara itu,  Jabatan Perangkaan Malaysia pula mendedahkan  bahawa 50% rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap terdiri daripada mereka di bawah umur 30 tahun.
• Jika kad kredit dicuri atau nombor PIN jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya, anda mungkin terpaksa menanggung hutang kad kredit yang banyak.
• Kad kredit biasanya memberikan anda mata ganjaran yang kemudiannya boleh digunakan untuk menebus pelbagai hadiah menarik. Namun, jangan lupa bahawa anda perlu banyak berbelanja untuk mengumpul mata ganjaran tersebut. Situasi sebegini boleh mendorong anda berbelanja melebihi kemampuan, semata-mata kerana ingin mengumpul mata ganjaran dan memperoleh hadiah yang diidamkan.
• Oleh kerana anda tidak perlu menggunakan wang tunai sendiri tetapi sekadar sekeping kad untuk membeli barang, ramai yang cenderung membeli barang yang tidak perlu. Lebih teruk lagi, mereka beranggapan bahawa mereka “mampu” untuk membeli barangan yang mahal, sedangkan situasi kewangan mereka adalah sebaliknya.
• Biarpun jarang menggunakan kad kredit, anda masih perlu membayar cukai perkhidmatan sebanyak RM50 untuk setiap kad setahun dan ini sudah pastinya merugikan. Selain itu, syarikat kad kredit akan mengenakan pelbagai jenis caj bagi perkhidmatan yang ditawarkan. Walaupun ada syarikat yang menawarkan yuran tahunan percuma sepanjang hayat, ia biasanya tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Jika anda hanya menggunakan kad kredit setahun sekali, lebih baik batalkannya sahaja.
• Purata kadar faedah yang dikenakan oleh bank untuk penggunaan kad kredit ialah 18% setahun. Hakikatnya, lebih lama masa yang diambil untuk membayar hutang kad kredit, lebih banyaklah wang yang perlu dibayar kepada pihak bank!
• Yuran dan caj yang bakal dikenakan – Ingatlah bahawa bank atau syarikat kad kredit juga akan mengenakan yuran pembayaran lewat (serta yuran-yuran lain) sekiranya anda gagal menjelaskan hutang kad kredit dalam tempoh masa yang ditetapkan. Bayaran-bayaran sebegini pastinya membebankan anda dalam jangka masa panjang.

1 comment: