Inspirasi ‘Billy The Plastic Beg’
Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
2010/07/27
Dua remaja luah kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar menerusi buku ceritaAMALAN memulihara alam sekitar perlu bermula daripada kecil. Antara boleh dilakukan termasuk mendidik anak supaya tidak membuang bungkusan makanan di merata tempat dan guna beg kitar semula bagi menggantikan beg plastik.
Menyedari hakikat betapa pentingnya penjagaan alam sekitar, Gabreil Tseng, 14 bersama adiknya, Raphaelle Tseng, 11, menerbitkan buku mengisahkan kitaran hidup beg plastik berjudul ‘Billy The Plastic Beg’. Buku istimewa itu menceritakan kesan penggunaan beg plastik tanpa pengawalan terhadap bumi, tetapi dibuat dalam bentuk naratif yang menyeronokkan untuk kanak-kanak kecil.
Gabreil yang juga pengasas kepada Kids For Earth (KFE) berpendapat alam sekitar sewajarnya dijaga semua lapisan komuniti yang berpijak tegar di bumi ini selain perlu memberikan reaksi positif dalam mengekalkan kehijauan flora dan fauna sebagai khazanah alam untuk dinikmati generasi akan datang.
Katanya, beg plastik mengambil masa kira-kira 300 tahun untuk mengurai dan ia berpecah menjadi partikel toksik kecil yang mencemarkan tanah serta saliran air, manakala haiwan dan hidupan laut turut terbunuh setiap hari gara-gara beg plastik tersumbat dalam saluran usus mereka.
“Kempen berkaitan pengurangan penggunaan beg plastik sememangnya wajar diterapkan di kalangan masyarakat dan dunia ini. Setiap tahun, kira-kira 500 billion beg plastik digunakan di seluruh dunia dan jumlah itu sangat membimbangkan berikutan pembuangan yang tidak terkawal mendatangkan kesan buruk terhadap pelbagai hidupan.
“Dalam pada itu, pelbagai cara boleh dilakukan untuk menjaga dan menghayati alam sekitar. Cara paling berkesan adalah dengan menanam sifat menyayangi hutan dan membabitkan diri dalam kempen alam sekitar di peringkat tempatan dan kebangsaan,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka, baru-baru ini.
Remaja itu berkata, keinginan untuk memulakan penulisan ‘Billy The Plastic Beg’ bermula apabila menonton cerita pendek di laman web mengisahkan keadaan kehidupan laut semakin terancam akibat pembuangan beg plastik secara berleluasa.
Katanya, rentetan sikap sambil lewa manusia, kini kebanyakan kehidupan laut tidak dapat meneruskan kitaran hidup secara normal kerana terperangkap dalam hasil pembuangan manusia sekali gus menyebabkan mereka kerap tertelan beg plastik sampah yang disangkakan makanan buat mereka.
“Rumusan cerita pendek itu cukup membuatkan saya sedih melihat keadaan kitaran hidupan laut terancam dek tingkah laku manusia sering mengambil mudah terhadap keegoan mereka. Sejurus itu, terus terdetik di hati untuk tampil melakukan sesuatu bagi memberikan kesedaran buat semua mengenai kepentingan menjaga alam semesta.
“Sebagai langkah permulaan, saya mengambil keputusan mengadakan kempen kesedaran menerusi projek ringkas. Tumpuan penyampaian difokuskan kepada kanak-kanak dan remaja berikutan yakin mereka adalah golongan permulaan yang paling tepat untuk memberikan rangsangan terhadap nilai murni yang perlu diterapkan termasuk pengetahuan moral,” katanya.
Bagi memastikan karya ‘Billy The Plastic Beg’ itu sampai ke sasaran, Gabreil melakukan pelbagai kempen bergerak dari satu sekolah ke sekolah di seluruh negara selain mengadakan perbincangan ringkas mengenai kepentingan dan tanggungjawab setiap masyarakat.
Katanya, selain mengedarkan buku yang dikarangnya, beg kitar semula untuk menggantikan beg plastik juga diedarkan sepanjang program dijalankan bertujuan untuk menggantikan penggunaan beg plastik sewaktu aktiviti membeli belah dilakukan umum.
“Masyarakat sepatutnya sedar keburukan penggunaan beg plastik. Ia bukan saja mengambil masa yang lama untuk luput, malah mengandungi bahan kimia yang merbahaya. Penggunaan beg litar semula sewaktu aktiviti membeli-belah dijalankan boleh membantu dalam usaha mengurangkan kadar pembuangannya.
“Malah jika dikaji semula, kebanyakan pasar raya turut menyahut baik kempen hari tanpa beg plastik dan ada sesetengah pihak mengenakan bayaran tambahan untuk mendapatkan beg plastik berbanding sebelum ini,” katanya sambil menunjukkan beg kitar yang direkanya.
Sementara itu, teman seperjuangan yang juga adik perempuannya, Raphaelle memberitahu keinginannya untuk bergiat lebih aktif dalam menyampaikan mesej bermakna itu bertambah kukuh selepas melihat semangat abangnya yang berkobar untuk membentuk jati diri di kalangan rakan-rakan sebaya.
“Ramai remaja mungkin memandang cetek terhadap keupayaan dan usaha yang sedang dilakukan Gabreil bersama KFE. Namun, selepas beberapa tahun bergiat aktif kini semakin banyak syarikat terkemuka tampil untuk memberi sokongan buat program termasuk kempen yang dijalankan oleh kami.
“Semangat abang yang tidak pernah luntur untuk meneruskan perjuangannya membuatkan saya kagum, sekali gus terpanggil untuk turut sama turun padang. Memang pada mulanya, agak sukar untuk berkomunikasi dengan umum, bagaimanapun perasaan kian terhakis malah kini saya semakin berkeyakinan jika diajukan soalan berkaitan kempen ini,” katanya sambil tersenyum manis.
Jelasnya lagi, selain membantu Gabreil dalam pengurusan projek dan bengkel, gadis cilik itu turut membantu abangnya untuk bertemu dengan organisasi, lembaga korporat dan sekolah bagi melangsungkan pertandingan serta bengkel berkaitan.
Raphaelle juga berterima kasih kepada YTL Corporation Berhad yang juga syarikat pertama untuk menerima pembentangan kertas kerja dua remaja itu, selain memberikan sokongan mantap dalam meneruskan kempen yang dirancang.
“Sebelum kami berjaya mendapat perhatian umum, pelbagai cara dan kaedah dilakukan agar kertas kerja ini diterima. Mungkin kerana kami ini kanak-kanak dan dianggap tidak berpengalaman. Namun, hakikatnya kami juga mempunyai pendirian dan keazaman yang tegar dalam membentuk persekitaran yang selamat buat semua benda hidup di bumi ini.
“Selepas beberapa kali ditolak dan dipandang leceh, akhirnya kami berjaya menarik perhatian YTL Corperation Berhad sekali gus Philip Wong of ArtSeni Gallery. Pelbagai rekaan Eco Sculptures dihasilkan daripada bahan-bahan terbuang termasuk botol, surat khabar dan beg plastik dijadikan sebagai pameran selain diletakkan di sekitar kawasan Lot 10 untuk memberikan kesedaran kepada tatapan umum,” katanya.
Sebelum menamatkan perbualan rancak pada petang itu, kedua-kedua remaja itu sempat menyatakan mereka selesa dengan apa yang dilakukan. Bagi mereka, walaupun masih setahun jagung mereka dapat membahagikan jadual harian dengan baik.
“Kami berdua tidak lari daripada kehidupan seperti kanak-kanak biasa. Setiap pembelajaran diteruskan, aktiviti yang disertai juga dilakukan tanpa sebarang sekatan. Apa yang penting adalah pembahagian masa dan kami sememangnya seronok dengan apa yang dilakukan, asalkan orang ramai terutama golongan muda tahuakan tentang tanggungjawab mereka dalam mengekalkan keindahan alam yang tiada berganti nilainya,” kata mereka.
~~~BERITA HARIAN ONLINE ~~~
No comments:
Post a Comment