'Ya, saya boros'
Hentikan penafian dan buatlah pengakuan dengan ikhlas dan jujur. Hanya selepas itu, anda boleh menghentikan tabiat boros anda.

APABILA kita membeli mengikut emosi dan tidak mengambil berat mengenai wang yang dibazirkan itu, kita akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar. - Gambar hiasan
APABILA seorang bayi dilahirkan, sebagai seorang ibu atau ayah, kitalah insan yang paling penting dalam hidup mereka. Lantas, kitalah juga yang akan melentur hidupnya ke arah kebaikan.
Tiada seorang ibu atau ayah yang inginkan keburukan, kemiskinan dan perkara negatif berlaku dalam hidup anak mereka. Namun, tanpa kita sedari, perbuatan seharian atau amalan yang kita lakukan itu menjadi tingkah laku yang akan mencorakkan atau memusnahkan kehidupan anak-anak. Tingkah laku inilah juga yang akan membawa kepada keburukan kepada mereka.
* Menghadapi kebenaran
Bagaimana mengenali masalah seseorang yang boros? Di sini, saya sendiri melakukan proses tersebut bersama ahli keluarga dan kami perhatikan di antara satu sama lain sekiranya merasakan masalah ini akan berulang kembali. Baiklah, apa kata pada hujung minggu ini, anda sediakan tiga kotak besar dan tandakan:
1. Simpan
2. Pemberian
3. Buang sama sekali
Apabila kita perhatikan barang-barang yang dikumpul, tidak kiralah sama ada pakaian, kasut, tas tangan, buku-buku, majalah, barangan dapur seperti periuk dan lain-lain lagi, sekiranya ia memenuhi kotak-kotak tersebut, maka sedarlah bahawa hakikatnya, kita mempunyai masalah berbelanja. Hal tersebut juga boleh dikategorikan sebagai masalah boros.
Kebenaran yang kita hadapi ini mungkin pedih sama sekali, tetapi ia boleh diselesaikan. Perkara yang paling penting ialah kita sedar yang kita mempunyai masalah membeli-belah atau boros berbelanja. Oleh itu, kita seharusnya mengetahui cara-cara untuk mengatasi masalah tersebut.
* Kenapa boros berbelanja?
"Tidak, ini bukan masalah utama saya! Saya hanya gemar membeli-belah, apa salahnya membeli-belah? Saya hanya membeli-belah semasa jualan mega dan bukannya setiap hari."
Dialog di atas menceritakan mengenai situasi seseorang yang gemar membeli-belah walaupun pada hari-hari tertentu. Sikapnya itu dikatakan boros disebabkan setiap kali tibanya musim jualan mega, dia akan membeli apa yang dia inginkan, tanpa mengambil tahu hal melibatkan pengurusan kewangan.
Apabila kita mula menjadikan beli-belah sebagai satu perkara yang menenangkan fikiran, maka ia adalah petanda sikap boros anda. Setelah kita membeli apa yang diinginkan, kita akan menyorok daripada pengetahuan isteri, suami atau anak-anak. Perbuatan ini belum menjadi masalah besar. Namun begitu, apabila kita membeli mengikut emosi dan tidak mengambil berat mengenai wang yang dibazirkan itu, kita mungkin akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar.
Sekiranya kita tidak mengatasi masalah besar ini, ia akan membawa kemudaratan dalam rumah tangga. Contohnya, hutang kad kredit yang semakin meningkat, masalah penceraian kerana suami atau isteri mula mengalami keperitan membayar hutang. Oleh itu, sekiranya membeli-belah dan boros ini adalah masalah utama anda, cuba atasinya mengikut empat langkah yang dinyatakan di bawah:
1) Mengaku ia satu masalah.
Apa yang perlu kita lakukan adalah duduk bersama orang yang kita sayangi iaitu suami atau isteri dan jika perlu anak-anak, adik beradik dan mengaku kepada mereka bahawa anda mempunyai masalah besar. Anda perlukan bantuan mereka untuk mengatasinya. Jika kad kredit menjadi punca, maka serahkan kepada mereka yang kita percayai atau potong sahaja sehingga semua hutang telah diselesaikan. Jika wang tunai, serahkan buku bank dan kad bank kepada insan yang boleh dipercayai. Benarkan mereka memberi kepada kita wang yang mustahak sahaja seperti makan, minum, petrol, bayaran bil-bil telefon dan keperluan bulanan.
2) Apakah masalah sebenarnya?
Tidak dinafikan, kadangkala kita harus berhadapan dengan masalah peribadi yang tidak ingin dikongsi dengan sesiapa. Apabila emosi dan masalah ini digandingkan, kita mencari jalan keluar yang paling pantas. Sekiranya anda berhadapan dengan masalah kewangan, rumahtangga, kerjaya atau masalah berat badan, membeli-belah dengan boros bukan jawapannya. Dapatkan bantuan daripada suami atau isteri atau sesiapa saja yang memahami diri anda.
3) Nilai sendiri masalah boros
Setiap orang mempunyai perbezaan sewaktu membeli-belah. Ada yang membeli-belah kerana kawan-kawan dan ada pula yang gemar membeli-belah setiap kali tibanya jualan mega. Malah, ada pula yang membeli-belah kerana ingin menjadi seseorang yang paling trendy seperti memakai kasut atau tas tangan yang paling terkini.
4) Ambil masa 15 minit sebelum membeli sesuatu yang tidak penting.
Inilah masa terbaik yang harus anda lakukan sebelum membazir. Dengan hanya 15 minit, pelbagai perkara boleh dilakukan selain membeli-belah. Contohnya, duduk sambil membaca buku atau majalah, sekiranya berada di pusat-pusat membeli-belah.
bagus.. :) i like it..
ReplyDelete